Thursday, October 21, 2010

Sesuci Kasih Bab 2

BAB 2

“Cantiknyannn…geramnya akuuuu?” jerit ku perlahan.

Mata ku masih menatap gambar-gambar fesyen yang di gayakan model-model terkenal. Mata ku lebih tertarah pada baju-baju yang di kenakan oleh mereka. Sudah banyak koleksi majalah yang terkumpul di bilik ku. Cakap saja majalah apa semuanya aku ada. Tapi bukan aku yang beli. Ini semua duit abang Khai. Lelaki itu dengan murah hati akan membelikan aku majalah setiap kali dia ke bandar. Kadang kala terpikir juga dimana abang Khai mendapatkan majalah ini kerana setahu aku di pekan kecil seperti Pekan Pulai Condong ni mana ada majalah yang glamor. Tinggal di Kampong Sungai Bagan banyak kekurangan dari segi pembangunan. Hendak melihat rumah kedai pun belum tentu sempat generasi ke tujuh. Pada firasat aku mesti bandar yang dimaksudkan abang Khai bukan pekan Pulai Condong yang kecil molek ni kerana kalau abang Khai kata nak ke bandar pasti kelibatnya tak nampak dalam seminggu. Pernah aku bertanya dengan mak hanya jawapan ‘tidak tahu’ yang memuaskan hati ku.

Kedengaran derap kaki berjalan di lantai rumah kayu ini. Entah siapa lah tu. Aku masih leka dengan majalah yang terlentang di atas katil usang dalam bilik kecil ini. Sambil meniarap dagu ku tongkat. Sesekali bibir berlagu mengikut rentak lagu ku sendiri. Sementara kaki ku angkat 90 darjah. Kalau mak tengok mesti di piat telinga ku. Ikut petua orang tua-tua tak elok kaki di angkat begini kerana perbuatan ini yang di panggil menyabung akan membuat mak atau bapa kita pergi dahulu. Entah siapa yang mencipta petua ini. Bagi aku nyawa di tangan Tuhan, bukan perbuatan begini menjadi penyebabnya.

“Kak long!!” kedengaran ketukan di pintu bilik ku. Suara adik aku kedengaran di sebalik pintu.

“Nak apa??”jawab ku keras. Aku paling tak suka kalau tengah bersantai, ketenangan ku terganggu. Dengan rasa malas, aku bangun membuka selak pintu.

“Nak apa?” Tanya ku lagi pada Samad yang tersenggih menunjukkan giginya yang ronggak. Cantik sangatlah tu. Hanya sedikit saja daun pintu ku kuak supaya Samad tak dapat menjengah ke dalamnya. Budak ni kalau dapat masuk bilik kecil ini mesti tak nak keluar.

“Mak panggil!” habis berkata Samad terus berlalu. Tak sempat aku bertanya lagi budak tu dah hilangkan diri.

“Eshhh…suka kacau orang tau.” Keluh aku sendiri. Pintu ku buka luas dan meloloskan diri ke ruang dapur. Tangga kayu tiga mata berkeriuk bila ku pijak dan sekali gus tiga pasang mata menatap ku. Abah yang sedang merenung tingkah ku membuat aku kecut perut. Ada aku buat salah ke hari ni?. Mana kala abang Khairul tenang menyapa pandangan ku.

“Kama buat apa kat bilik?” sapa mak sambil menatang dulang berisi cawan.

“Tak buat apa-apa mak, Kama duduk baca buku saje.” Sempat aku mencapai dulang dan menyusun cawan-cawan tersebut sambil berdoa agar abah tak berkata apa-apa.

“Kau tak boleh ke tolong mak kau di dapur ni Kama?. Dari kau menghabiskan masa duduk memerap dalam bilik tu, takde faedahnya. SPM dah habis, kau mentelaah apa lagi?” kata-kata abah membuat aku tunduk membisu. Malu dengan abang Khai yang sama duduk di meja makan itu. Abah kalau nak berceramah tak kira tempat, depan siapa. Kalau bom nak meletup, abah tak tengok keadaan pun. Meluncur je pelurunya.

“Dah besar panjang pun masih nak diajar. Tak tahu langsung nak buat apa. Semua nak kena cakap. Tak payahlah kalau kata nak menoreh, jaga rumah pun susah sangat ke?.” Luahan abah sedikit sebanyak menghiris hati ku. Mata terasa panas membahang tapi cepat ku tahan. Tak berani aku hendak mengangkat wajah.

“Kama, pergi ambilkan mak teko kat dapur tu.” Bagaikan mengerti perasaan ku, mak bersuara menyelamatkan keadaan.

Terus aku berlalu. Setelah meletakkan teko yang berisi air kopi, aku mengangkat kaki keluar melalui pintu dapur. Abah masih berbual dengan mak dan abang Khairul. Hati yang sedikit pilu membawa aku ke tepi telaga di belakang rumah. Tubuh ku labuhkan di pangkin kecil yang di buat oleh abang Khairul dulu. Kadang terfikir kenapa abah begitu bengkeng dengan diri ku. Susah nak bermesra dengan abah. Setiap kata-kata abah tidak boleh di bantah. Bagaikan seorang Hitler wujud dalam rumah ini. Keputusan yang keluar dari mulutnya bagaikan penamat untuk segalanya. Tiada titik koma hanya titik noktah saja. Masa aku tingkatan tiga dulu keputusan yang baik melayakkan aku bersekolah di asrama penuh. Bila tanya pada mak, hanya abah yang layak buat keputusan dan setelah abah bersuara wajah aku masih di kampung kecil ini. Bila agaknya langkah kaki ku dapat menjangkau melepasi garis sempadan kampung Sungai Bagan. Tanpa sedar airmata mengalir untuk menyatakan rasa hati. Sesak bila memikirkan semua ini.

“Kenapa termenung ni?” suara yang menyapa membuat aku terkedu. Terbayang peristiwa tadi yang sedikit membuat aku malu dengan empunya suara itu.

“Kamaaa….” Perlahan lelaki itu menyebut nama ku. Cepat aku mengesat airmata takut terkesan oleh abang Khairul.

“Abang, buat apa kat sini?” Sapa ku sambil cuba memberi senyuman walaupun aku tahu ada sedikit hampar.

“Kenapa menangis ni?, Kama terasa dengan kata-kata abah tadi ke?” bagaikan mahu memujuk, abang Khairul mengambil tempat di buaian depan ku.

“Taklah..”lemah bersuara bagaikan mahu memujuk hati sendiri. Pandangan ku jatuh pada pokok-pokok getah di belakang rumah kami. Pokok yang memberi hasil untuk kami menyuap nasi. Untuk kami meneruskan hidup ini.

“Kama, abah kan memang begitu. Abang rasa Kama lebih kenal abah Kama dari abang kan. Walau kata-kata macam tu, dia sayang pada Kama.” Abang Khai tidak jemu-jemu memujuk hati ku yang sedih ini.

“Tapi bang, Kama ni kan anak dia juga. Takkan lah sikit punya hal nak marah-marah Kama pula.” Akhirnya rasa tidak puas hati ku luahkan juga. Baru lega perasaan ini.

“Kama di kira beruntung masih ada abah dan mak. Tengok macam abang ni hanya menumpang kasih dengan keluarga Kama saje. Dulu masa mak dan bapak abang ada, bila mak dan bapak abang tegur mesti abang sakit hati tapi tengok sekarang. Abang rindu dengan leteran mereka. Kalau abah dan mak Kama tak perlihara abang, mungkin abang dah hilang entah kemana.” Aku mencari wajah abang Khai dan masih tenang bersuara. Setiap renungannya yang memberi kedamaian pada diri ku. Kata-katanya lembut bila bersuara. Tidak pernah meninggikan suara apatah lagi memarahi ku.

“Kama rasa tak puas hati tu pasal kena marah depan abangkan.” Pantas aku melarikan wajahku bila bibirnya terukir senyuman. Lelaki ini bijak memecah tembok perasaan ini.

“Betulkan abang cakap ni?” rasa hendak melarikan diri bila abang Khai masih menembak hati ku.

“Iyerlah, kalau nak marah tu, tengok-tengoklah. Ini tidak main belasah je. Mana Kama tak malu. Kama dah besar tau.” Renggek ku. Abang Khairul di depan sudah tertawa kecil. Bagai anak kecil aku mengadu rasa tidak puas hati ku.

“Apa yang Kama nak malukan dengan abang ni. Apa yang abah cakap tadi tu memang betul. Kama sendiri cakap yang Kama dah besar. Cuba-cuba tolong mak kat dapur. Sesekali masak untuk abang. Ni asyik makan masakan mak je.” Usikannya membuat aku menjeling tajam. Perasan. Siapa nak masak untuk dia. Nanti aku gadu dengan mak yang abang Khai dah jemu dengan masakan mak baru padan muka.

“Tak kuasa Kama.”ujar ku geram. Tangan ku ligat mencari tali timba. Elok kalau di ikat abang Khai dan campakkan dalam perigi. Biar tak dapat naik baru dia rasa. Biar kecut dalam perigi tu.

“Hahhh..otak tu dah fikir jahatlah tu.” Masih mahu mengusik aku segera bangun. Tak jadi aku hendak mencapai tali timba tadi. Abang Khai menyambung tawanya.

“Abang memang. Tak nak kawan.” Membentak aku berlalu sambil mulut masih tak nak berhenti memarahi lelaki yang masih tertawa gembira. Bencinyaaaa…

No comments:

Post a Comment